PENCAPAIAN dan prestasi atlet-atlet para Malaysia adalah sesuatu yang membanggakan, jelas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Hannah berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asean ke-12 di Kemboja bermula 3 Jun ini.
“Rekod pencapaian konsisten di pelbagai pertandingan di pentas antarabangsa membuktikan Malaysia memiliki barisan atlet-atlet para yang mengkagumkan.
“Untuk Temasya Sukan Para Asean kali ini, saya sependapat dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bahawa ianya harus dijadikan sebagai platform untuk perbanyakkan lagi atlet para negara yang boleh disandarkan harapan ke peringkat lebih tinggi,” jelas Hannah dalam ucapannya.
Dalam masa yang sama, Hannah juga menekankan untuk melihat kemunculan lebih ramai lagi atlet yang mampu mengatasi pencapaian peribadi masing-masing sekaligus melakar prestasi yang mencuri perhatian ramai orang.
Jelasnya lagi, sasaran 33 pingat emas yang ditetapkan merupakan keputusan sepakat dilakukan bersama MPM, Majlis Sukan Negara (MSN), serta Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan dan bukan dilakukan dengan sesuka hati.
“Saya perlu tegaskan disini bahawa penetapan sasaran bukan kerja sambil lewa malah dua sesi libat urus telah dilakukan untuk mencapai jumlah yang dipersetujui.
“Saya secara peribadi yakin, walau berapa sekali pun jumlah sasaran yang akan diumumkan, wira dan wirawati para negara akan mampu untuk menghasilkan pencapaian yang luar biasa, melepasi sasaran kita” ujarnya.
Selain itu, Hannah turut mewajibkan agar pegawai pengiring untuk menemani semua atlet para negara bagi semua penyertaan di peringkat antarabangsa disamping membantu kontinjen agar lebih bersemangat dan fokus ketika beraksi.