MALAYSIA perlu mengambil kesempatan tekanan penyokong tuan rumah ke atas pasukan Vietnam untuk layak ke perlawanan akhir acara bola sepak di Sukan SEA 2021 Hanoi, Vietnam pada Khamis.
Bekas pengendali skuad Bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berpendapat Vietnam akan lebih merasai tekanan berbanding skuad kebangsaan kerana mereka bermain di hadapan penyokong fanatik mereka sendiri.
Bercakap secara eksklusif kepada FLASH SUKAN selepas tamat perlawanan menentang Penang FC, beliau menganggap semua pasukan lawan adalah sama dan tidak berbeza dengan pasukan kebangsaan dan menganggap Malaysia mempunyai peluang yang baik untuk ke final.
“Untuk mendapatkan satu pasukan yang lengkap hanya pada penghujung latihan ianya satu keputusan cukup positif. Kita menghabiskan peringkat kumpulan tanpa kalah. Tidak kisah siapa pun yang kita lawan kerana semuanya layak dan tidak ada perbezaan antara semua pasukan.
“Vietnam akan lebih tertekan kerana bermain di hadapan penyokong mereka sendiri dan jika kita mampu menunjukkan prestasi yang sama seperti menentang Thailand, saya rasa kita mempunyai peluang yang lebih baik,” ujarnya.
Skuad bimbingan Brad Maloney akan berhadapan Vietnam di separuh akhir selepas menduduki tangga kedua dalam Kumpulan B dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua keputusan seri.
Satu lagi peringkat separuh akhir menemukan Thailand dan Indonesia untuk menentukan tempat ke final bagi merebut ibu segala pingat Temasya Sukan Sea ke-31 ini.