HARAPAN Malaysia untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 13 tahun tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Tajikistan dalam aksi final Kejohanan Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Gol menerusi Soirov Rustam dan Samiev Shahrom pada penghujung babak pertama dan kedua sudah cukup buat barisan kendalian Petar Segrt untuk mengecewakan Malaysia sekaligus menjulang trofi Pestabola Merdeka buat kali pertama dalam sejarah.
Kim Pan-gon melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama dengan memasukkan Safawi Rasid dan Brendan Gan menggantikan Akhyar Rashid dan Noaa Laine yang menyaksikan serangan Malaysia sedikit berat tetapi lebih kompak di bahagian tengah dan pertahanan.
PESTABOLA MERDEKA 2023
FT: Malaysia 0-2 Tajikistan
⚽ Soirov Rustam 44', Samiev Shahrom 88'
*Tajikistan muncul juara Pestabola Merdeka 2023
More pictures at: https://t.co/Elj0uTSx2E#pestabolamerdeka2023#harimaumalaya pic.twitter.com/IpHUmiYurF
— Flash Sukan (@FlashSukan) October 17, 2023
Meskipun dikatakan kehilangan beberapa tonggak utama, Tajikistan masih mempamerkan kualiti dalam permainan terutama ketika bertahan hingga menyukarkan barisan serangan Malaysia mencipta peluang berbahaya.
Bola juga banyak berlegar di bahagian tengah padang yang kelihatan lebih baik berbanding ketika menentang India dengan Malaysia terus mengasak untuk mencari gol pembukaan.
Kealpaan benteng pertahanan Harimau Malaya dihukum Tajikistan apabila pemain Kedah Darul Aman FC, Amirbek Juraboev melorongkan bola kepada Soirov Rustam untuk meledak rembatan melepasi jangkauan Syihan ketika perlawanan babak pertama berbaki dua minit.
Pan-gon melakukan perubahan taktikal pada babak kedua dengan mengeluarkan Matt Davies dan Arif Aiman untuk memberikan ruang buat Azam Azmi Murad dan Akhyar Rashid untuk cuba memecah blok pertahanan Tajikistan yang kukuh.
Malaysia turut mempertaruhkan Stuart Wilkin dan Mukhairi Ajmal untuk menambah sengat di barisan serangan bagi mencari gol penyamaan namun masih gagal untuk menguji penjaga gol lawan yang mengecewakan lebih 36 ribu penyokong yang hadir.
Skrip sama berulang pada penghujung babak kedua apabila kesilapan pertahanan Malaysia dihukum pemain gantian Tajikistan, Samiev Shahrom yang mudah menewaskan Syihan untuk gol kedua sekaligus memadam harapan Harimau Malaya untuk bangkit.
Meskipun pengadil memberikan tujuh minit tambahan masa, kedudukan 2-0 kekal dan Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan ini dan melupakan hasrat untuk menjulang piala bersejarah ini.