SEMUA pasukan dari Liga Malaysia (Liga M) tidak akan dibenarkan mewakili negara di peringkat antarabangsa sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa susulan isu pemalsuan dokumentasi yang membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya.
Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, yang mengesahkan situasi melibatkan FAM kini dipantau rapi oleh FIFA bersama AFC.
Menurutnya, sebarang penggantungan terhadap FAM akan memberi kesan besar kepada landskap bola sepak negara, khususnya apabila kelab tempatan tidak lagi dibenarkan beraksi dalam kejohanan peringkat Asia seperti Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan ACL2.
Bukan itu sahaja, tindakan tersebut turut memberi implikasi kepada skuad kebangsaan termasuk pasukan remaja, yang berkemungkinan ‘dibekukan’ daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa sepanjang tempoh penggantungan.
“Kalau FIFA menggantung FAM, maka semua pasukan kebangsaan dan kelab tidak boleh beraksi di luar Malaysia,” katanya, sambil menegaskan larangan itu melibatkan semua peringkat umur.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan saingan domestik masih boleh diteruskan, namun kejohanan Liga M tidak akan mendapat pengiktirafan rasmi daripada FIFA atau AFC sepanjang tempoh penggantungan tersebut.
“Liga tempatan boleh berjalan. Tetapi semua skuad negara tidak kira senior atau bawah 12 tahun, termasuk kelab yang bertanding mewakili Malaysia dalam ACL, tidak akan dibenarkan beraksi di luar. Ini adalah situasi yang sangat drastik dan tidak diingini oleh mana-mana negara,” jelasnya.
Ketika ini, FAM telah membawa kes pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib yang menjatuhkan penggantungan 12 bulan serta denda terhadap pemain terbabit.
FIFA turut mengenakan denda terhadap FAM atas kecuaian dalam pengemukaan dokumen, dan situasi boleh menjadi lebih serius sekiranya CAS tidak memihak kepada FAM, termasuk kemungkinan cadangan hukuman tambahan seperti penggantungan penuh daripada FIFA.