PEMAIN tengah kebangsaan, Mukhairi Ajmal berterima kasih kepada Kim Pan-gon kerana memberikan cuti selama lapan hari dan sedia merebut tempat dalam senarai akhir 23 pemain untuk saingan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Mukhairi juga percaya bahawa dia miliki kemampuan yang diperlukan serta mampu untuk menyumbang sesuatu kepada pasukan kebangsaan jika dipilih oleh barisan kejurulatihan.

Dia juga tidak kisah dipanggil ke skuad kebangsaan meskipun sudah beraksi sepanjang musim bersama Selangor FC dan berjaya membantu Gergasi Merah ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

 

“Saya bersyukur kerana dapat kembali ke pasukan senior meskipun berasa agak kekok kerana baharu bercuti. Terima kasih kepada jurulatih Kim Pan-gon kerana memberikan saya bercuti selama lapan hari.

“Saya akan perbaiki mana yang kurang dan akan beri sehabis baik jika saya terpilih dalam senarai akhir untuk ke Piala AFF kali ini serta akan menunjukkan kemampuan saya kerana saya memang letak harapan untuk berada di dalam pasukan.

“Bagi saya sebagai pemain profesional dan pemain yang baru hendak naik, saya gembira untuk menyahut cabaran skuad kebangsaan dan saya percaya dengan barisan yang ada ini akan lebih membantu kita menyediakan lambakan pemain yang lebih besar,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Mukhairi juga percaya bahawa mana-mana pemain yang dipilih mampu untuk membawa Harimau Malaya melangkah ke perlawanan akhir dengan dia sendiri mempunyai sasaran peribadi untuk layak ke final.

“Setiap tahun saya memang sasarkan ke final. Itu memang matlamat saya.”

Pemain berusia 21 tahun itu perlu segera menyesuaikan diri dengan corak latihan untuk membentuk keserasian bersama pemain-pemain baharu sekaligus dapat membawa momentum kecemerlangan bersama Selangor ke skuad kebangsaan.