LIGA A1 bukan lagi sekadar medan aksi untuk pasukan amatur, sebaliknya bakal berperanan sebagai ‘penyelamat’ kepada kelab-kelab elit yang bergelut dengan isu pelesenan atau kewangan, jelas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi.

Menurut Yusoff, Liga A1 yang sebelum ini berfungsi sebagai ruang pembangunan untuk pasukan amatur, kini terbukti mampu menjadi landasan kukuh apabila dua kelab dari liga tersebut – Melaka FC dan Imigresen FC – berjaya naik ke Liga Super untuk musim 2025. Ini sekali gus membuka mata banyak pihak tentang potensi sebenar A1 dalam ekosistem bola sepak negara.

“Matlamat kita dari awal memang mahu lihat pasukan-pasukan kecil ini berkembang hingga mampu bersaing di peringkat tertinggi. Kini, apabila dua pasukan amatur berjaya naik ke Liga Super, ia membuktikan Liga A1 ada fungsi penting dalam pembangunan kelab,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan kereta Carsome kepada FAM di Petaling Jaya.

Yusoff turut menyentuh tentang situasi semasa Kedah FC dan Perak FC yang tidak berjaya mendapatkan lesen untuk musim baharu. Menurut beliau, Liga A1 adalah ruang selamat untuk mereka meneruskan kesinambungan pasukan tanpa perlu ‘gulung tikar’.

“Kami tak mahu kehilangan kelab-kelab ini. Kalau mereka rasa belum bersedia di liga utama, A1 adalah platform untuk bina semula kekuatan. Mereka ada tempat untuk kembali,” ujarnya.

Mengulas tentang jumlah pasukan yang sesuai untuk A1 musim depan, Yusoff mencadangkan maksimum 14 pasukan, tetapi menekankan kriteria kelayakan akan lebih ketat bukan sekadar cukup pemain dan kewangan, tetapi juga kebolehan pengurusan.

“Pernah ada sampai 20 pasukan dalam satu musim, tapi kami tak mahu kuantiti melebihi kualiti. Lebih baik 10 pasukan yang benar-benar stabil daripada 15 yang bermasalah setiap minggu,” katanya.

Yusoff turut mengesahkan bahawa dua pasukan simpanan iaitu JDT II dan Selangor II akan menyertai saingan A1 musim depan memandangkan ketiadaan divisyen kedua dalam struktur semasa.

Jelasnya, FAM dan AFL akan terus memberi masa kepada pasukan-pasukan yang berpotensi untuk menyertai liga tersebut, namun keputusan akhir tetap bergantung kepada komitmen serta kesediaan kelab itu sendiri.