MESKIPUN dianggap menerima ‘laluan emas’ buat beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah di Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, ketua jurulatih Rosman Razak enggan leka dengan ramalan atas kertas.
Bagi Rosman, ranking atau lawan yang menanti bukan penentu sebenar kerana apa yang lebih penting adalah memastikan anak buahnya benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental.
“Pendirian saya masih sama, kita tidak mahu berfikir terlalu jauh atau terlalu memikirkan siapa lawan yang bakal ditemui,” katanya, ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Rosman Razak yakin prestasi semasa pada hari pertandingan menjadi kayu ukur sejauh mana kemaraan beregu negara.
Undian yang berlangsung Rabu lalu meletakkan Pearly-Thinaah di laluan mudah apabila menerima bye di pusingan pertama sebelum dijangka menentang gandingan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti di pusingan ketiga.
Berdasarkan rekod, pasangan ranking kedua dunia itu memiliki kelebihan ke atas gandingan Indonesia, namun Rosman menegaskan statistik masa lalu bukan jaminan kejayaan di pentas dunia.
Persiapan beregu wanita negara berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan, sekali gus memberi keyakinan kepada barisan kejurulatihan menjelang kejohanan berprestij tersebut.
Selain Pearly-Thinaah, Malaysia turut mempertaruhkan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang turut mendapat bye di pusingan pertama, menambah peluang negara untuk mencipta kejutan di Paris.