DALAM ribuan penyokong yang hadir ke perlawanan Piala Asia 2023 di Doha, rezeki milik buat Jais Abdul Karim selepas menerima bola daripada pemain skuad Harimau Malaya, Syahmi Safari.
Jais dari Pulau Pinang yang hadir bersama isteri, pada mulanya bercerita melihat pemain Malaysia sedang menyepak dan membaling bola ke arah penonton semasa perlawanan pertama Kumpulan E bertemu Jordan, 15 Januari lalum
Tanpa berharap sesuatu, kebetulan Syahmi melintasi ke arah berhampiran dari bangku simpanan dan Jais memanggil dan rezekinya, pemain Johor Darul Ta’zim itu memalingkan mulanya ke belakang tempat dirinya berdiri.
“Saya perhati dari jauh, tengok mereka baling bola ke arah penonton. Tak la terlalu berharap sebab masa tu memang ramai penyokong Malaysia.
“Nak dijadikan rezeki, saya dapat bola dari Syahmi. Walaupun sekadar bola, saya memang nak simpan sebagai tanda kenang-kenangan dari bumi Qatar,” kongsi peminat fanatik bola sepak tempatan itu ketika ditemui FLASH SUKAN.
Sementara itu, Jais yang menyaksikan pertembungan sengit Harimau Malaya dikalahkan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad tetap berpuas hati keputusan dilakar anak buah Kim Pan-gon.
Katanya, pemain Malaysia telah bersungguh-sungguh dan menunjukkan satu permainan menarik cuma tuah tidak memihak dalam perlawanan itu.
“Harapnya, lawan Korea Selatan kita boleh dapat gol dan curi mata walaupun misi mustahil. Semoga bola sepak negara terus berjaya dan kembali lagi ke pentas Piala Asia akan datang,” katanya.
Malaysia kini berada di kedudukan tercorot Kumpulan E, tersingkir awal serta gagal meraih sebarang jaringan selepas dua permainan.