Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui tempoh persiapan yang singkat memerlukan barisan kejurulatihan memberi perhatian penuh terhadap pembentukan keserasian skuad menjelang Piala Hyundai ASEAN 2026.

Menurut beliau, hanya sekitar sembilan hingga 10 hari latihan sebelum kejohanan bermula menjadikan aspek kecergasan, taktikal dan persefahaman antara pemain sebagai keutamaan.

“Kami mempunyai tempoh yang sangat singkat sebelum kejohanan bermula. Dalam masa itu kami perlu memastikan pemain dapat membentuk satu pasukan yang benar-benar bersatu.

“Selain itu, ramai pemain masih belum berada pada tahap kecergasan terbaik kerana baru memulakan latihan bersama kelab masing-masing. Jadi kami akan memantau keadaan mereka setiap hari sambil membentuk struktur dan taktikal pasukan,” katanya.

Tan Cheng Hoe yang pernah membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2018 berkata situasi kali ini jauh berbeza berbanding lapan tahun lalu.

Katanya, ketika itu beliau mempunyai tempoh persiapan yang lebih panjang, manakala skuad kali ini dibarisi ramai pemain muda yang masih kurang pengalaman di pentas antarabangsa.

“Cabaran kali ini berbeza kerana ramai pemain masih baharu di peringkat antarabangsa. Apa yang kami perlukan ialah membina persefahaman dan semangat berpasukan kerana itulah asas untuk mencapai keputusan yang baik,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran pasukan, Tan Cheng Hoe memilih pendekatan lebih realistik dengan memberi fokus kepada setiap perlawanan tanpa mahu meletakkan tekanan berlebihan kepada pemain.

“Bagi saya, kami akan mengambil pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan. Fokus utama adalah memastikan pemain berada pada tahap terbaik, mengelakkan kecederaan dan terus meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

“Jika semua itu dapat dilakukan, saya percaya pasukan mampu memberikan saingan terbaik sepanjang kejohanan,” katanya.