Menjelang aksi final Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Sepanyol, sekeping foto lama yang memaparkan Lionel Messi memandikan bayi yang kini dikenali sebagai Lamine Yamal kembali mencuri perhatian peminat bola sepak di seluruh dunia.

Gambar yang sebelum ini mengundang pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan ia dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), disahkan sebagai foto asli oleh jurufoto yang merakam detik berkenaan hampir dua dekad lalu.

Jurufoto, Joan Monfort, menjelaskan gambar itu diambil pada Disember 2007 sempena sesi fotografi kalendar amal anjuran UNICEF bersama Yayasan FC Barcelona.

Menurutnya, keluarga Yamal dipilih secara rawak untuk menyertai kempen tersebut sebelum bayi berusia beberapa bulan itu dipadankan dengan Messi yang ketika itu baru berusia 20 tahun dan sedang mencipta nama bersama Barcelona.

Kisah di sebalik gambar berkenaan kembali menjadi bualan apabila kedua-dua pemain bakal berentap buat kali pertama di pentas final Piala Dunia, dengan Messi mengetuai cabaran Argentina manakala Yamal menjadi antara tonggak utama Sepanyol.

Yamal mengakui beliau sendiri hanya mengetahui kewujudan foto tersebut selepas bapanya menunjukkan gambar berkenaan apabila ia mula tular di media sosial.

“Saya rasa tiada siapa akan berasa terganggu apabila dibandingkan dengan pemain terbaik dalam sejarah bola sepak.

“Tetapi perbandingan seperti itu juga membawa tekanan kerana anda tidak mungkin dapat menjadi seperti beliau,” katanya.

Walaupun Messi tidak pernah mengulas secara terperinci mengenai sesi fotografi berkenaan, legenda Argentina itu sebelum ini beberapa kali memuji perkembangan Yamal dan menyifatkannya sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam bola sepak dunia ketika ini.

Hampir 19 tahun selepas pertemuan tidak dirancang itu, takdir sekali lagi menemukan kedua-dua pemain di pentas terbesar bola sepak dunia apabila Argentina dan Sepanyol bakal berentap bagi menentukan juara Piala Dunia 2026.