PASUKAN bawah-23 tahun Malaysia diundi dalam kumpulan B bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2021 yang dijadualkan berlangsung di Hanoi, Vietnam pada 6 hingga 22 Mei ini.
Turut serta adalah pemenang pingat emas sebanyak 16 kali iaitu Thailand, Kemboja, Singapura dan juga Laos.
Jurulatih antarabangsa kelahiran Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah pada pandangannya menilai ada empat negara yang memiliki peluang sama untuk meraih emas iaitu Thailand, Malaysia, Indonesia dan tuan rumah Vietnam.
“Untuk Malaysia, saya yakin Brad Maloney (jurulatih B-23 negara) sudah ada ramuan tersendiri untuk menghadapi Thailand.
“Dengan material pemain yang dimilikinya, Malaysia boleh sahaja mengalahkan Thailand pada aksi pembukaan. Nampak macam sukar tapi tidak mustahil dalam bola sepak,” katanya kepada Flash Sukan pada Khamis.
Pun begitu, Raja Isa yang kini mengendalikan kelab Liga 1 Bangladesh, Muktijoddha Sangsad KC tidak menafikan peluang Singapura dan Filipina yang berpotensi membuat kejutan.
“Jadual padat di Sukan SEA memainkan faktor ini. Saya tak terkejut jika Malaysia, Indonesia dan Vietnam paling minima layak ke separuh akhir,” ujarnya.
Cumanya, dia menasihatkan skuad B-23 Malaysia jangan over confidence atau terlalu yakin diri ketika menghadapi tiga lawan lainnya iaitu Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).
Skuad B-23 Malaysia sudah 11 tahun tidak membawa pulang pingat emas Sukan SEA. Terakhir skuad negara melakukannya pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia ketika dikendalikan Datuk Ong Kim Swee.
Peminat tempatan pasti dahagakan kejayaan sejak sekian lama dan adakah kita akan melihat kemarau emas dapat diakhiri pada edisi kali ini di bumi Hanoi. Sama-samalah kita nantikan !