PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, sedia menebus maruah apabila sekali lagi bakal berdepan Li Shi Feng, pemain nombor empat dunia dari China, di pusingan pertama Terbuka Denmark minggu depan.
Pertemuan panas ini hadir sebulan selepas Jun Hao tunduk kepada lawan sama di Masters China, menjadikan pentas di Odense sebagai gelanggang terbaik untuk melunaskan dendam.
Selepas tidak teraenarai ke Terbuka Arctic di Finland minggu ini, fokus Jun Hao kini lebih kepada mengekalkan konsistensi permainan dan kecergasan fizikal berbanding rombakan besar dalam latihan.

Leong Jun Hao perlu bangkit dengan berani.
“Persiapan seperti biasa saja. Saya harap boleh kekalkan konsistensi seperti beberapa kejohanan terakhir dan cuba tingkatkan lagi prestasi,” katanya, tenang.
Pemain berusia 26 tahun itu menjadikan aspek pemulihan sebagai tumpuan utama sepanjang dua minggu terakhir bagi memastikan dirinya segar sepenuhnya di Denmark.
“Latihan dah cukup intensif, jadi saya lebih banyak tumpu kepada pemulihan supaya badan betul-betul segar,” ujarnya.
Sebagai rekod, aksi di Denmark bakal menjadi pertemuan kelima musim ini antara kedua-dua pemain, dengan Jun Hao hanya menang sekali ketika Terbuka India, Januari lalu.