PELANTIKAN Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu, disifatkan sebagai suntikan semangat segar buat ekosistem sukan negara yang kian rancak menuju tahap terbaik.

Rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Selasa turut menyaksikan seorang lagi ahli parlimen, Mordi Bimol diberi amanah sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melihat kepimpinan baharu ini sebagai pemangkin utama untuk memperkasa landskap sukan negara secara lebih progresif dan mampan.

Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada Rombakan Kabinet 2025.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, sinergi erat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) amat penting bagi melonjakkan prestasi atlet serta memperkukuh tadbir urus sukan.

“Pelantikan ini memberi keyakinan baharu kepada seluruh warga sukan untuk terus bergerak seiring dalam membina ekosistem sukan yang lebih kukuh dan berdaya saing,” kata Norza dalam satu kenyataan.

Mordi Bimol kini Timbalan Menteri Belia dan Sukan baharu menggantikan Adam Adli Abdul Halim.

Menurutnya, MOM bersedia bekerjasama rapat dengan Dr Taufiq dan Mordi bagi memacu sukan berprestasi tinggi serta memastikan laluan pembangunan atlet lebih tersusun.

Dalam masa sama, Norza merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalannya, Adam Adli Abdul Halim, atas komitmen dan sokongan padu sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“MOM kekal komited untuk terus menyokong KBS agar sukan Malaysia terus mara di pentas antarabangsa selari dengan Nilai Olimpik dan aspirasi nasional,” katanya.