JAWATANKUASA Bebas (IIC) yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, mengesyorkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera membuat laporan polis susulan dakwaan pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi yang dikaitkan dengan kes FIFA melibatkan tujuh pemain.
Menurut laporan siasatan tersebut, kes berkenaan berada di bawah kategori kesalahan jenayah kerana pemalsuan dokumen adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan Malaysia dan berada sepenuhnya dalam bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Justeru, IIC menegaskan mereka tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat aspek jenayah itu dan mengesyorkan FAM menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengenal pasti punca dokumen palsu serta individu yang bertanggungjawab.
Laporan itu juga mendedahkan kelemahan ketara dalam tadbir urus FAM, termasuk proses dokumentasi, pemantauan ejen, pengesahan dokumen serta struktur penyeliaan dalaman. Antara cadangan utama ialah penambahbaikan struktur pentadbiran, audit berkala khususnya berkaitan kelayakan pemain, pendaftaran dan kawalan ketat terhadap ejen, pengesahan integriti dan etika kepada semua pihak terlibat dalam pengurusan bola sepak negara.
Bagaimanapun, IIC memaklumkan mereka tidak dapat menentukan secara muktamad siapa yang memalsukan dokumen terbabit kerana pihak yang terlibat tidak memberikan kerjasama, manakala ejen kepada tujuh pemain berkenaan gagal dikesan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.
Apa yang jelas, menurut laporan itu, kegagalan pemantauan dan kawalan dalaman FAM telah membolehkan insiden serius ini berlaku tanpa dikesan lebih awal.
Sehubungan itu, IIC menegaskan kes FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain berkenaan adalah perkara berkepentingan awam dan laporan siasatan wajar didedahkan kepada umum demi ketelusan serta pemulihan kredibiliti bola sepak negara.
Susulan pendedahan tersebut, Jawatankuasa Eksekutif FAM dijadual mengadakan mesyuarat khas pada Isnin, 22 Disember 2025 bagi membincangkan dapatan laporan siasatan itu secara terperinci sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.