SKUAD remaja Teqball Malaysia menghadirkan sinar baharu buat sukan negara apabila mencipta sejarah meraih dua pingat gangsa di Sukan Belia Asia 2025 di Bahrain.
Pingat bersejarah itu hadir menerusi gandingan Muhammad Amirul Danish dan Muhammad Rahmat dalam acara beregu lelaki, serta pasangan Amirul bersama Putri Zarra Arissa Mohammad Abdul Aziz dalam beregu campuran.
Kejayaan itu juga menandakan detik bersejarah buat Persatuan Teqball Malaysia (MTA) apabila ia menjadi pingat rasmi pertama sejak penubuhannya pada 2018.

Gandingan Muhammad Amirul Danish-Muhammad Rahmat (beregu lelaki), serta Amirul-Putri Zarra Arissa Mohammad Abdul Aziz (beregu campuran) menghasilkan 2 gangsa di Bahrain.
Lebih manis, pencapaian ini diraih menerusi usaha dan pembiayaan sendiri, membuktikan semangat juang tinggi barisan muda negara dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Presiden MTA, Sivakumar Jakarathan, menyifatkan kejayaan itu sebagai titik tolak kebangkitan sukan teqball tanah air dan menyeru agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta penaja tampil memberi sokongan padu.
“Dengan sokongan yang sewajarnya, kami mampu memperluaskan program pembangunan atlet dan membina skuad mantap menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok serta Sukan SEA 2027 di Malaysia,” katanya.