KEJAYAAN skuad boling padang negara yang kekal muncul sebagai juara keseluruhan di Kejohanan Boling Padang Asia, Thailand turut dibantu oleh salah seorang wira, Muhammad Idham Amin Ramlan.
Atlet muda berusia 24 tahun ini cemerlang dalam aksi yang ditampilkannya sejurus berjaya merangkul dua pingat iaitu satu emas dalam kategori Men’s Triple dan satu perak dalam acara Men Fours.
Menurut Idham, dia tidak menyangka bahawa penyertaannya dalam kedua-dua acara mampu menghasilkan pingat buat Malaysia, apatah lagi mempunyai saingan dari negara-negara yang terserlah kemampuan mereka.
“India, Hong Kong, Filipina dan Thailand, masing masing mempunyai cara permainan yang agak sama.
“Jadi, saya dan pasukan mula buat percaturan dengan mengutip mata sebanyak mungkin dari permulaan perlawanan sehingga tamat untuk memastikan kami kekal dihadapan.
“Saya memang menyasarkan satu emas untuk salah satu kategori tetapi Alhamdulillah, Tuhan beri rezeki lebih dengan mendapat lagi satu pingat dalam acara kedua saya,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Idham turut mendedahkan bahawa kemenangan tersebut sangat bermakna buatnya apabila ia merupakan pingat emas ketiga yang telah diraih sejak tahun 2019 lagi.
“Kejayaan ini sudah tentu saya hadiahkan buat diri saya terutamanya, dan seterusnya buat keluarga dan pasukan saya,” ujar Idham.
Kejohanan Boling Padang Asia edisi ke-15 telah berlangsung di Pattaya, Thailand pada 3 hingga 10 Mac lalu dan menyaksikan Malaysia berjaya membawa pulang tiga pingat emas.