Kredit Gambar: FB Tottenham Hotspur

Tottenham Hotspur memperkuat jentera serangan dengan mendapatkan khidmat penyerang Mesir, Omar Marmoush, daripada Manchester City secara pinjaman untuk tempoh semusim.

Perjanjian berkenaan turut dilaporkan mempunyai klausa yang membolehkan perpindahan pemain berusia 27 tahun itu dimuktamadkan secara kekal pada musim panas tahun depan.

Menurut laporan media Britain, Tottenham perlu membayar jaminan £50 juta (RM273.5 juta) untuk menjadikan perpindahan tersebut kekal, selain tambahan sehingga £10 juta (RM54.7 juta) bergantung kepada pencapaian tertentu.

Marmoush menyambut baik peluang baharu itu dan menyifatkan projek Tottenham di bawah pengendali Roberto De Zerbi sebagai sesuatu yang menarik.

“Ia satu perasaan yang menakjubkan untuk berada di sini. Saya sangat teruja untuk memulakan perjalanan bersama pasukan dan tidak sabar bertemu penyokong.

“Tottenham Hotspur adalah antara kelab terbesar di England, malah dunia, dan projek ini sangat menarik buat saya.

“Saya sudah bercakap dengan pengendali dan saya suka apa yang beliau katakan. Saya yakin minat kami terhadap permainan ini akan berjalan dengan baik bersama,” katanya.

Marmoush menikmati permulaan positif selepas menyertai Manchester City pada pertengahan musim 2024-25 apabila menghasilkan tujuh gol dalam separuh musim pertamanya di Stadium Etihad, namun gagal mengekalkan momentum berkenaan pada musim lalu dengan hanya tiga gol daripada 21 penampilan Liga Perdana Inggeris.

Persaingan untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama City, khususnya dengan kehadiran Erling Haaland, mengehadkan minit permainan Marmoush. Situasi itu membuka ruang buat Tottenham mendapatkan pemain yang mampu beraksi sebagai penyerang tengah mahupun di bahagian sayap kiri.

De Zerbi kini dilihat mahu memperkukuh barisan serangan Spurs selepas kelab London itu mengharungi dua musim mengecewakan dengan masing-masing menamatkan Liga Perdana di tangga ke-17. Tottenham turut membelanjakan £237 juta (RM1.30 bilion) untuk mendapatkan Sandro Tonali, Mateus Fernandes dan Jan Paul van Hecke.

Marmoush juga menjadi pemain kedua City yang menyertai Tottenham pada musim panas ini selepas pemain sayap Brazil, Savio, yang dilaporkan berpindah dengan nilai £75 juta (RM410.25 juta) serta tambahan sehingga £10 juta (RM54.7 juta).

Kehadiran Marmoush diharap dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada De Zerbi, terutama selepas Spurs memulakan kempen baharu Liga Perdana dengan kekalahan 0-3 kepada Brentford. Tottenham seterusnya akan menerima kunjungan Newcastle United dalam aksi liga berikutnya.