Kredit Gambar: FIH

SKUAD hoki lelaki kebangsaan mahu menutup kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan ke atas Wales dalam penentuan tempat ke-15 dan 16 di Arena Hoki Belfius, hari ini.

Bagi ketua jurulatihnya, Brendon Carolan, beliau menyifatkan kemenangan secara tidak langsung akan meningkatkan motivasi barisan pemainnya untuk menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dari 19 September hingga 4 Oktober nanti.

“Ia bukan soal maruah semata-mata kerana saya rasa para pemain telah beraksi dengan cukup baik dalam kejohanan ini. Jadi sudah tentu kami mahu akhirinya dengan kemenangan untuk membina keyakinan ke Sukan Asia.

“Sekarang anda dapat lihat pasukan ini lebih tersusun berbanding dua bulan lalu dan pemain tahu apa yang diharapkan daripada mereka. Kami juga telah letakkan standard prestasi yang baik, jadi kami mahu menang ke atas Wales,” katanya.

Mengulas lanjut, Carolan menganggap kedudukan Speedy Tigers akan menjadi lebih baik sekiranya menang ke atas Perancis, namun berakhir seri 3-3 dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini.

Begitupun, beliau tetap berbangga denga keseluruhan prestasi pasukan kerana berjaya menghadirkan tentangan kepada lima lawan yang berada dalam kelompok 12 terbaik dunia iaitu Jerman, Perancis, Belgium, Ireland dan Afrika Selatan.

“Sudah tentu kami mahu menamatkan kejohanan di kedudukan lebih tinggi, namun, kami agak kurang bernasib baik dengan gol yang dibatalkan semasa menentang Perancis. Tiga mata dalam kumpulan memberikan perbezaan yang besar.

“Namun, saya rasa kami semakin merapatkan jurang dengan kelompok 10 terbaik dunia. Kami kelihatan agak tersusun menjelang Sukan Asia dan para pemain tidak sabar untuk memberikan persembahan terbaik di sana nanti,” jelas Carolan.