BAS yang membawa skuad Liverpool menjadi sasaran anarkisme selepas perlawanan menentang Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Peminat bola sepak juga mengecam perbuatan buruk ini.
ESPN, The Athletic dan The Guardian melaporkan bas tersebut dijadikan sasaran pada Sabtu sekitar pukul 3.40 petang waktu tempatan di Ashton New Road dekat persimpangan Rowsley Street. Ketika itu, Liverpool hendak pulang selepas tamat perlawanan.
Cermin bas itu dipecahkan dengan dibaling batu bata, namun tiada sesiapa yang cedera. Walaupun begitu, Polis Greater Manchester meneruskan siasatan kes ini selepas menerima laporan. Man City selaku tuan rumah kesal dengan tindakan yang tidak bermaruah ini.
“Insiden seperti ini tidak boleh diterima sama sekali, kami mengecam sekeras-kerasnya mereka yang bertanggungjawab. Kami menyokong Polis Greater Manchester dalam menyiasat kejadian ini dalam apa jua cara yang kami boleh,” kata kenyataan rasmi Man City.
Club statement – Manchester City FC vs Liverpool FC
— Manchester City (@ManCity) April 1, 2023
Layanan buruk yang diterima Liverpool bukan itu sahaja. Semasa perlawanan itu, penyokong Man City turut kedengaran menyanyikan nyanyian menghina kerana mereka merujuk kepada Tragedi Hillsborough yang membunuh 97 penyokong The Reds pada tahun 1989.
“Kami kesal dengan sebarang kesalahan yang mungkin disebabkan oleh laungan itu dan akan terus bekerjasama dengan kumpulan sokongan dan pegawai kedua-dua kelab untuk menghapuskan laungan kebencian daripada perlawanan ini,” tambah kenyataan Man City.
Man City berjaya menewaskan Liverpool 4-1 dalam perlawanan tersebut yang bangkit daripada ketinggalan gol awal Mohamed Salah pada minit ke-17. Pasukan bimbingan Pep Guardiola membalas gol menerusi jaringan Julian Alvarez (27′), Kevin De Bruyne (46′), Ilkay Guendogan (53′), dan Jack Grealish (74). .
Kemenangan itu mengekalkan Man City di tangga kedua dengan 64 mata daripada 28 perlawanan, manakala Liverpool di tangga kelapan dengan 42 mata daripada 27 perlawanan.