SABAH FC hari ini mengumumkan Martin Stano yang memiliki Lesen Pro kejurulatihan dilantik sebagai ketua jurulatih baharu dengan dibantu Alto Linus sebagai penolong jurulatih manakala Muhamadin Abdul Ajid daripada pasukan Sabah FC II menjadi jurulatih kecergasan sehingga tamat musim 2024-25
Sebelum ini, selepas Datuk Ong Kim Swee melepaskan jawatan ketua jurulatih, Alto Linus dilantik menggantikannya dengan Martin Stano sebagai penolong jurulatih interim merangkap jurulatih kecergasan.
Pelantikan ini diambil daripada barisan kejurulatihan sedia ada bagi memastikan momentum kemenangan serta pendekatan pasukan seperti latihan, taktikal, metodologi dan analisis video dapat diteruskan dan tidak menjejaskan prestasi pasukan.
Untuk makluman, MFL memberikan tempoh sehingga 10 Disember ini untuk Sabah FC melantik jetua Jurulatih baharu yang memiliki Lesen Pro.
Semoga gandingan kejurulatihan baharu ini dapat meneruskan kesinambungan dan keserasian pasukan seperti yang telah ditunjukkan dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini hingga ke akhir musim.
Sabah FC juga sentiasa mengharapkan sokongan berterusan penyokong untuk memastikan kejayaan pasukan memperbaiki kedudukan di carta liga dan terus mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia.