KELANTAN FC semakin pasti akan diturunkan pangkat ke Liga M3 susulan menerima kekalahan ke-15 musim ini, apabila dibelasah 5-1 oleh Kuala Lumpur City FC.
Ketua jurulatih, Angel Alfredo Vera mengakui situasi terhimpit pasukannya itu dan sedar mereka tidak dapat mengelaknya biarpun pemain mempamerkan kerja keras dalam perlawanan.
Katanya, amat mustahil untuk memperbaiki kedudukan liga dengan baki lapan perlawanan.
“Walaupun kita bermula baik, pasukan saya dan lawan jauh dibezakan dengan pengalaman.
“Pemain sudah berkerja keras tapi untuk mengikut tempo permainan laju dan sebagainya, tapi secara keseluruhan kerjasama sepasukan, saya puas hati,” kata Alfredo.
Menurutnya, The Red Warriors terpaksa akur dengan situasi apabila pasukan itu disekat membuat transaksi perpindahan pemain dan sekatan itu baru sahaja dibatalkan.
“Pemain yang ada kebanyakan pemain muda (skuad bawah 23 tahun) dan mereka tiba-tiba terpaksa bermain pada saingan yang tinggi, mereka tidak cukup pengalaman,” kata pengendali berasal dari Argentina itu.
Katanya, pada jendela perpindahan kedua ini, beliau sudah menilai beberapa pemain import yang kini sedang diuji iaitu pemain kacukan Thailand-Jerman dari Thailand Denis Buschening dan seorang lagi penyerang dari Sepanyol.