PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah berasa tenteram dengan keputusan perlawanan persahabatan semalam biarpun persembahan pasukannya tidak seperti biasa.

Pada aksi di Ipoh pada Sabtu, Perak memenangi perlawanan persahabatan menentang Kedah Darul Aman FC hasil sepakan penalti Luciano Guaycochea pada minit ke-58.

Pasukan The Bos Gaurus itu kelihatan bergelut pada separuh masa pertama dengan corak permainan yang ditampil serta sukar melancarkan serangan terhadap kubu gol lawan.

Luciano Guaycochea penjaring gol tunggal dalam perlawanan persahabatan semalam. (Sumber Gambar: FB Perak FC)

“Setiap tindakan yang kita (Perak) lakukan terutamanya di separuh masa pertama bagi saya amat mengecewakan.

“Dalam keseluruhan permainan, saya kena bercakap benar, kita tidak berada di dalam perlawanan langsung pada 45 minit babak pertama.

“Saya rasa semua setuju dengan kata-kata saya, perubahan amat ketara pada separuh masa kedua,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Clayton Da Silva yang baru sahaja menjalani latihan ringan bersama pasukan The Bos Gaurus dikatakan mempunyai kontrak semusim dengan kelab itu. (FB Perak FC)

Yusri juga mengulas mengenai prestasi pemain import baharu Perak FC, Clayton Da Silva yang disifatkan perlukan ruang dan masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan itu.

“Dia baru sahaja sampai di Malaysia tiga hari lalu dan sudah menjalani medical check up kelmarin berjaya melepasi syarat yang diperlukan.

“Seandainya pemain ini beraksi dalam liga mereka dalam seminggu atau dua minggu lalu mungkin dia dalam kondisi yang baik tetapi pemain ini datang ke sini melebihi 36 jam perjalanan jadi sudah pasti ada jet lag dan kelesuan.

“Jadi kita kena beri dia ruang dan peluang untuk dia menjalani latihan bersama kami. Saya harapkan dia boleh adapt dengan kecergasan dan persefahaman antara rakan sepasukan dan peluang untuk dia beraksi dalam perlawanan persahabatan di Pulau Pinang agak cerah jika dia melepasi tahap kecergasan yang diperlukan,” ujarnya lagi.

Perak akan memulakan saingan liga dengan bertemu Terengganu FC pada 11 Mei di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.