Mexico’s forward #09 Raul Jimenez cscores his team’s second goal during the 2026 World Cup Group A football match between Mexico and South Africa at the Mexico City Stadium in Mexico City on June 11, 2026. (Photo by Rodrigo OROPEZA / AFP)

Mexico memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah cemerlang apabila menewaskan Afrika Selatan 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Azteca, awal pagi tadi.

Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, tuan rumah mengutip tiga mata berharga hasil jaringan Julian Quinones dan Raul Jimenez untuk mengukuhkan kedudukan awal dalam saingan kumpulan sekali gus menamatkan rekod kurang memberangsangkan mereka dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia.

Kemenangan itu lebih bermakna apabila Mexico berjaya mempertahankan kelebihan mereka meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten pasukan, Cesar Montes, dilayangkan kad merah.

Afrika Selatan pula gagal memanfaatkan kelebihan jumlah pemain apabila sukar mencipta ancaman konsisten ke arah gawang lawan, sekali gus membolehkan Mexico mengawal sebahagian besar permainan.

Pemain tengah Mexico, Erik Lira mengakui aksi pembukaan kejohanan bukan tugas mudah kerana tekanan besar yang hadir bersama status sebagai tuan rumah.

Menurutnya, pasukan telah melakukan persiapan mental yang rapi bagi memastikan emosi dan tekanan tidak menjejaskan prestasi di atas padang.

Lira turut menegaskan bahawa kejayaan meraih tiga mata menjadi keutamaan, namun Mexico tidak boleh berasa selesa kerana masih mempunyai tugas besar dalam baki saingan kumpulan.

Perlawanan tersebut turut mencipta rekod tersendiri apabila menyaksikan tiga kad merah dilayangkan, jumlah tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah perlawanan pembukaan Piala Dunia.

Mexico kini mengalihkan tumpuan kepada aksi kedua Kumpulan A menentang Korea Selatan minggu depan dalam usaha meneruskan momentum kemenangan dan mengukuhkan peluang ke pusingan kalah mati.