SERAMAI 38 pemain snooker berkampung di Malaysia merebut gelaran, Siri Kejuaraan Snooker Dunia 2022.

Pemain snooker ternama daripada 16 negara asia itu akan beradu kehebatan di High-End Snooker Club Kapital Mall, Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Saingan bermula hari ini dengan pembuka tirai perebutan gelaran ACBS Asian 6 Reds Championship.

Sebagai tuan rumah, Malaysia memperoleh empat tempat wild-cards yang akan diwakili lapan pemain.

Pemenang pingat emas Sukan SEA dari Vietnam, Moh Keen Hoo dan Lim Kok Leong mengetuai pasukan bersama bekas pemain Jelajah Snooker Dunia, Thor Chuan Leong dan semifinalis Kejohanan Kebangsaan, Mohd Reza Hassan.

Sebagai tuan rumah, Persekutuan Snooker dan Billiard Malaysia (MSBF) diberi hak untuk mengisi empat lagi tiket wild-card.

Tempat itu diberi kepada bakat snooker tempatan untuk merasai pengalaman bersaing dengan pesaing Asia lain. Mereka terdiri daripada Muhammad Zulfadhli, Hau Boon Meng, H’ng Yuan Yew dan Loh Chung Leong, yang akan beraksi di pentas Asia buat kali pertama.

Saingan merebut gelaran Kejuaraan Master Dunia Snooker Berpasukan akan bermula esok.

Kejuaraan membabitkan pemain snooker berusia 40 ke atas itu menyaksikan Malaysia diwakili empat pasukan yang terdiri daripada 16 pemain veteran berusia 40-an.

Antara pemain yang akan beraksi adalah bekas pemain terbaik 80-an Ng Ann Seng dan Liew Kit Fatt.

Pasukan kedua Malaysia pula terdiri daripada bekas juara kebangsaan Ooi Chin Kayn yang akan bergandingan dengan Goh Boon Sun dari Pulau Pinang, manakala Pasukan ketiga diberi kepada Teo Kok Seng dan Fong Keng Seng.

Manakala Pasukan keempat dibarisi Mohd Reza Hassan dan Roslan Rurnalis yang baru mencecah 40-an.

Berikut jadual Siri Kejuaraan Snooker Dunia

– ASIAN 6 REDS MEN SNOOKER CHAMPIONSHIP, 25 hingga 28 September

– WORLD MASTERS TEAM SNOOKER CHAMPIONSHIP, 26 hingga 29 September

– WORLD 6 REDS MEN SNOOKER CHAMPIONSHIP, 29 September hingga 4 Oktober

– WORLD 6 REDS WOMEN SNOOKER CHAMPIONSHIP, 3 hingga 6 Oktober

– WORLD 150 UP ENGLISH BILLIARDS CHAMPIONSHIP, 4 hingga 8 Oktober

– WORLD TEAM MEN SNOOKER CHAMPIONSHIP, 5 hingga 9 Oktober