Penyerang prolifik, Faizal Saari sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila meledak empat gol memastikan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan menang 6-0 ke atas Kanada pada aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 hari ini.
Bagi Faizal, beliau gembira dengan kejayaannya itu dan ia menjadi lebih bermakna sekiranya dapat membantu pasukan mencapai sasaran pada edisi ke-32 kejohanan kali ini.
“Saya sendiri tak ingat bila kali terakhir saya jaringkan empat gol, mungkin sudah lama tetapi Alhamdulillah berjaya membantu kemenangan pasukan hari ini.
“Kejohanan ini sebenarnya amat istimewa buat diri saya. Namun, tugas masih belum selesai kerana ada tiga lagi perlawanan dalam usaha kita ke pentas final.
“Saya harap semua pemain dapat terus berikan momentum yang sama terutama dua perlawanan penting menentang Australia dan Pakistan selepas ini,” kata Faizal yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan hari ini.
Faizal membuka tirai jaringan buat Speedy Tigers menerusi gol padang seawal minit kedua sebelum Azrai Aizad Abu Kamal menggandakan kedudukan pada minit ke-23.
Berselang lima minit kemudian, giliran Amirul Hamizan Azahar meledak jaringan ketiga buat skuad bimbingan Brendon Carolan itu sebelum Faizal terus ‘mengganas’ dengan tambahan tiga lagi jaringan.
Tiga gol Faizal itu dihasilkan melalui penalti stroke pada minit ke-35, jaringan padang (m-49) dan pukulan sudut penalti m-57.
Apa yang menjadikan perlawanan itu lebih istimewa adalah kejayaan adik Faizal iaitu Mohd Fitri Saari membuat penampilan antarabangsanya yang ke-250 Bersama Skuad Senior Lelaki Kebangsaan.
Selepas ini, Speedy Tigers akan meneruskan saingan PSAS menentang Amerika Syarikat pada Isnin diikuti Australia (Selasa) sebelum melengkapkan aksi peringkat liga sepusingan bertemu Pakistan (Khamis).