SEBANYAK 4,100 pemain belia dan pegawai bakal mengambil bahagian dalam Kejohanan Bolasepak Tertutup Belia PETRONAS 2026 dan Liga Juara-Juara Bolasepak Belia PETRONAS 2026 yang akan berlangsung di tiga bahagian di Sarawak bermula Julai hingga November ini.

Penganjuran edisi kali ini merupakan hasil kerjasama antara Persatuan Bolasepak Sarawak (PBS) dan PETRONAS dalam usaha memperkukuhkan pembangunan bola sepak akar umbi serta melahirkan lebih ramai bakat muda di negeri itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (PBS), Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kejohanan itu terus mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan sebanyak 164 pasukan membabitkan tiga zon penganjuran.

Kuching akan menjadi lokasi utama dengan penyertaan 84 pasukan bermula 25 Julai hingga 24 Oktober, manakala Bintulu menghimpunkan 56 pasukan dari 1 Ogos hingga 8 November.

Sementara itu, Mukah diperkenalkan sebagai venue baharu bagi edisi 2026 dengan penyertaan 24 pasukan yang akan bersaing dari 26 September hingga 15 November.

Pengenalan Mukah sebagai lokasi ketiga dilihat sebagai langkah penting dalam memperluaskan akses kepada pertandingan bola sepak belia berkualiti, sekali gus memastikan lebih ramai pemain muda dari seluruh Sarawak berpeluang mengetengahkan bakat mereka.

Sidang media pelancaran kejohanan dipengerusikan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, yang turut merakamkan penghargaan kepada PBS dan PETRONAS atas komitmen berterusan dalam membangunkan ekosistem bola sepak belia di negeri itu.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Dzulkarnain Masron serta wakil PETRONAS, Norazibah Md Rabu.

Penganjuran kedua-dua kejohanan itu dijangka terus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu bola sepak Sarawak, selain memperkukuhkan laluan pembangunan pemain muda ke peringkat lebih tinggi.