FIRMA perunding kewangan, Rinani Group Berhad melengkapkan pemilikan saham kelab Kuala Lumpur City FC dalam usaha menjadikan kelab ibu kota itu sebagai sebuah kelab elit.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengarah Rinani Group Behad, Noor Azri Noor Azerai menerusi kenyataan media yang disiarkan pada Selasa.

Penswataan pasukan KL City FC ini adalah selaras dengan saranan badan bola sepak dunia, Fifa dan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mempunyai pasukan bola sepak berasaskan negeri yang ditadbir secara profesional, mempunyai sumber kewangan dari pihak swasta dan mempunyai pemilik.

“Rinani Group Berhad dengan bangga ingin mengumumkan pemilikan saham Kuala Lumpur City FC, pasukan kedua terbaik dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun lalu dan juga pemenang Piala Malaysia edisi ke-100 pada 2021 serta juara dua kali Piala Menteri Wilayah Persekutuan.

“Kami mengucapkan selamat datang kepada KL City FC ke keluarga Rinani yang turut mempunyai syarikat MGRC (Malaysian Genomics Resource Centre Berhad), Bintai Kinden Corporation Berhad, SCIB (Sarawak Consolidated Industries Berhad) dan Reneuco Berhad. Kami tidak sabar untuk melihat KL City FC menjadi pelopor dengan sokongan berterusan daripada penyokong kami.

“KL City FC kini adalah kelab elit akan terus bersaing dan meneruskan usaha untuk menjadi kelab yang diuruskan secara professional dengan segala keputusan bola sepak menjadi teras. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) atas perkara yang telah mereka lakukan.

KL City bergelar juara Piala Menteri selepas. menewaskan Perak FC, 3-0.

“Pemilikan KL City FC ini adalah sebahagian daripada proses penswataan wajib yang ditekankan oleh Malaysia Football League untuk menggalakkan kesemua kelab berubah menjadi kelab yang diuruskan secara lebih profesional yang akan memberikan keuntungan kepada semua pemegang taruh,” tulis kenyataan itu.

Selain itu, Noor Azri yang dihubungi FLASH SUKAN mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Stanley Bernard dan Ketua Jurulatih, Bojan Hodak masih dikekalkan sebagai teraju utama pasukan dan syarikat tidak akan menggangu perkara yang berlaku di padang.

“Stanley dan Bojan boleh dikatakan sebagai duo yang sempurna kerana mereka telah menaikkan imej pasukan ini serta menempah kejayaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard

Sementara itu Presiden KLFA Khalid Abdul Samad turut mengalu-alukan kehadiran Rinani dan berharap para penyokong dapat menerima perubahan pemilikan oleh sektor swasta ini kerana banyak perkara positif bakal mendatang.

“Saya mengalu-alukan berita Rinani mengambil alih saham majoriti dalam KL City FC dan menjadi rakan kongsi bersama KLFA dalam kelab. Kami berharap para penyokong dapat menerima perubahan dalam pemilikan ini kerana penglibatan pihak swasta adalah penting untuk masa depan sukan di Malaysia kerana ahli perniagaan tahu apa yang terbaik untuk memberikan kejayaan dan memastikan kelab berdaya maju,” katanya.

KL City FC berjaya muncul juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan selepas menewaskan Perak FC 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu dengan majlis menandatangani pemerolehan ini berlaku ketika rehat separuh masa disaksikan oleh Menteri Belia Dan Sukan,  Hannah Yeoh.

ARTIKEL BERKAITAN : Berita penswastaan pasukan Liga Malaysia tarik minat Rinani melabur dalam KL City FC