SELEPAS tempoh rehat panjang dua tahun tanpa sebarang kejohanan bola sepak ekoran pandemik Covid-19, kini saingan Piala Emas Raja-Raja kembali menemui peminat setia bola sepak tanah air.

Saingan kali ini melibatkan 16 pasukan dan dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu Zon Utara, Selatan, Timur dan Tengah. Namun, saingan kali ini terdapat perubahan apabila pemain Liga Super, Liga Perdana, Liga M3 bagi tahun 2022 tidak layak untuk didaftarkan.

Penaung Kedah FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, pasukan yang menjuarai Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-100 ini bakal menerima imbuhan tajaan syarikat miliknya, KAB Gold Sdn. Bhd iaitu dua gram emas bernilai RM511 kepada setiap pemain bersama pasukan juara.

“Saya sebagai penaung Kedah FC dan juga penggiat  bola sepak merasakan harus membantu walaupun tidak sebesar mana tetapi kita memudahcara dan memberi inisiatif kepada pemain-pemain.

“InshaAllah pihak syarikat emas saya akan menawarkan hadiah dua gram setiap seorang kepada pemain pasukan juara di peringkat akhir nanti.

“Mereka akan mendapat dua gram seorang sebagai hadiah dan saya berbisik dengan tuan Firdaus tadi, mungkin kita akan buat juga Edisi Emas, istimewa untuk dijual kepada peminat-peminat bola sepak Malaysia membelinya sebagai cenderahati untuk kenangan,” jelasnya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran 100 Tahun Piala Emas Raja-Raja.

Turut hadiri pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman, Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM), Mohamad Firdaus Mohamed, timbalan-timbalan presiden, naib presiden serta ahli jawatankuasa persatuan.

Sebagai rekod, kejohanan yang telah memasuki satu abad penganjurannya kali terakhir pada 2019 dimenangi Majlis Sukan India Malaysia (MISC) yang menundukkan Kuala Lumpur 2-1 sekaligus mencipta sejarah menjadi pasukan jemputan yang berjaya merangkul Piala Emas Raja-Raja selepas kali terakhir pasukan jemputan melakukannya pada 1986.