KRISIS perpecahan antara pemain pasukan kebangsaan Belgium pada Piala Dunia 2022 berterusan selepas lima pemain dilaporkan membeli tiket penerbangan mereka sendiri untuk pulang awal dari Qatar.

Konflik dalaman mula timbul sejak Kevin De Bruyne berkata skuad Belgium sudah terlalu tua untuk menjulang trofi Piala Dunia 2022. Ini berlaku selepas Belgium hanya mampu menang 1-0 menentang Kanada pada perlawanan pertama Kumpulan F.

Ketegangan di bilik persalinan memuncak apabila Belgium tewas 0-2 kepada Maghribi pada hari perlawanan kedua. Emosi Hazard, De Bruyne dan Vertonghen ‘meletup’ di bilik persalinan.

Penyerang Belgium, Romelu Lukaku malah dikatakan telah memisahkan tiga rakan sepasukannya. Lukaku cuba menyejukkan keadaan panas di bilik persalinan Stadium Al Thumama.

Pada hari perlawanan terakhir, Hazard diletakkan di bangku simpanan dan De Bruyne dipilih sebagai kapten. Malangnya, Belgium hanya mampu bermain seri tanpa jaringan yang menyebabkan mereka tersingkir.

Lukaku menjadi punca kepada kegagalan Belgium kerana mensia-siakan empat peluang keemasan di depan gawang. Generasi emas Belgium terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Jurulatih Roberto Martinez turut mengumumkan peletakan jawatannya sejurus selepas Belgium disahkan tersingkir daripada kejohanan itu. Dia terpaksa meninggalkan pasukan yang dibina sejak enam tahun lalu.

Perpecahan di kem Belgium berterusan selepas lima pemain dilaporkan memilih untuk membeli tiket mereka sendiri untuk pulang awal dari Qatar.

Menurut Sport Bible, lima pemain itu ialah Thomas Meunier, Axel Witsel, Jeremy Doku, Arthur Theate dan Lois Openda. Mereka dilaporkan mendarat di Brussels mendahului skuad Belgium.