Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dipilih sebagai venue Perlawanan Akhir Piala FA 2026–2027 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 16 Januari 2027.
Keputusan itu diumumkan Malaysian Football League (MFL) selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ketiga bagi Penggal 2025–2029 yang berlangsung pada 3 November 2026.
Pemilihan SSI dibuat susulan TM Stadium Nasional tidak dapat digunakan berikutan kerja-kerja menaik taraf padang, trek balapan dan fasiliti stadium sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA 2027.
Berdasarkan pengesahan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), kerja-kerja naik taraf di venue berkenaan dijangka selesai pada Mei 2027, sekali gus menyebabkan MFL perlu mencari gelanggang alternatif bagi aksi kemuncak Piala FA musim ini.

Dalam membuat keputusan itu, MFL mengambil kira beberapa aspek penting termasuk keadaan permukaan padang, pengurusan logistik, kemudahan penginapan pasukan serta kelengkapan stadium.
Penilaian turut merangkumi kemudahan pentas utama, corporate suite, akses masuk ke stadium, aspek keselamatan dan keperluan operasi produksi siaran langsung bagi memastikan kelancaran penganjuran perlawanan akhir.
SSI yang mempunyai kapasiti 35,109 penonton dilihat sebagai pilihan sesuai berikutan kelengkapan fasiliti serta reputasinya sebagai stadium bertaraf antarabangsa.
Stadium berkenaan sebelum ini pernah menjadi venue aksi Harimau Malaya, termasuk perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Palestin pada 8 September 2025 serta perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada 25 Mac 2025.
Malah, SSI bukan asing dengan pentas akhir Piala FA apabila pernah menjadi venue perlawanan akhir edisi 2023 yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-0 pada 22 Julai tahun berkenaan.
Pemilihan SSI bagi edisi 2026–2027 dijangka sekali lagi menjadikan stadium itu pentas pertembungan dua pasukan terbaik yang akan berjuang merebut trofi kejuaraan. MFL berharap venue berkenaan dapat memberikan pengalaman terbaik kepada kedua-dua pasukan serta penyokong yang hadir menyaksikan aksi kemuncak tersebut.