Ketua jurulatih Malaysia B-16, Shukor Adan meletakkan sasaran kemenangan ke atas Palestin dalam aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia B-17 2027 bagi memastikan skuad muda negara memulakan kempen dengan langkah kanan.
Pertembungan Kumpulan E yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad itu dianggap cukup penting oleh Shukor untuk membina momentum positif sebelum menghadapi tiga lagi perlawanan peringkat kumpulan.
Menurut bekas pemain kebangsaan itu, walaupun setiap perlawanan mempunyai kepentingan tersendiri, aksi pertama tetap menjadi keutamaan dan beliau mahu anak buahnya menterjemahkan segala persiapan kepada keputusan positif.
“Perlawanan-perlawanan lain bagi saya juga penting, tapi perlawanan pertama lagi penting dan diharap pemain dapat menterjemahkan aksi mereka di dalam padang malam esok.
“Saya yakin pemain-pemain akan faham dengan situasi dalam pusingan kelayakan nanti, mereka akan bagi yang terbaik dan pastikan tiga mata,” katanya pada sidang media praperlawanan menentang Palestin.
Mengulas mengenai kekuatan lawan, Shukor mengakui Palestin memiliki kelebihan dari aspek fizikal dan kekuatan mental, sekali gus menuntut Malaysia lebih berwaspada sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun, beliau mempunyai keyakinan terhadap kemampuan barisan pemain negara selepas persiapan pasukan berjalan lancar sepanjang sesi latihan dengan kesemua pemain berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.
Situasi itu memberikan lebih banyak pilihan kepada Shukor untuk menentukan pendekatan taktikal terbaik bagi menghadapi cabaran Palestin.
Sementara itu, kapten Malaysia, Adam Muqri Muhaizam turut menegaskan skuad negara sudah bersedia sepenuhnya dan bertekad memberikan tentangan sengit dalam aksi pembukaan tersebut.
“Saya rasa pasukan ini sudah sedia sepenuhnya dan setiap pemain sedia memberikan tentangan sengit menentang Palestin,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Palestin, Singapura, Guam dan India. Selepas aksi pembukaan, skuad negara akan bertemu Singapura pada 14 November, Guam (17 November) dan India (20 November).
Hanya juara kumpulan akan memperoleh tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan dari 12 hingga 29 Mei tahun depan. Justeru, kemenangan ke atas Palestin menjadi permulaan penting buat Harimau Malaya dalam usaha memburu tempat ke kejohanan berkenaan.