SEBARANG kemungkinan melibatkan Sri Pahang FC yang bakal menarik diri daripada Liga Super musim depan benar-benar merentap jiwa penyokong setianya.

Bagi anak jati Pahang, Muhammad Saifullah Suhaimi, kelab itu bukan sekadar pasukan bola sepak, tetapi lambang maruah, semangat dan jati diri rakyat negeri Darul Makmur.

Muhammad Saifullah Suhaimi penyokong setia Tok Gajah.

“Pasukan ini wajib teruskan perjuangan… walaupun kita tahu saingan sukar, Sri Pahang tetap perlu ada sebagai pencabar utama, terutama kepada gergasi seperti JDT,” katanya, dengan nada penuh harapan.

Menurutnya, biarpun Sri Pahang tidak semewah kelab besar lain, namun semangat juang dan sokongan penyokong setia menjadikan mereka istimewa dalam liga.

“Kami faham keadaan kewangan bukan mudah, tapi kami tak pernah berhenti menyokong, ini bukan soal menang atau kalah, ini soal identiti kami,” katanya sebak.

Menurutnya, penyokong masih menanti sinar harapan, agar ada pemilik baharu yang sanggup bangkitkan semula pasukan ini demi ribuan hati yang masih setia.

“Kalau Sri Pahang kembali beraksi, hidup kami kembali bercahaya. Tanpa mereka, liga ini hilang warnanya,” luahnya, mewakili suara penyokong yang enggan melihat pasukan kesayangan mereka lenyap begitu saja.