ACARA kayuhan malam paling ikonik negara, RHB LEKAS Highway Ride, kembali menghangatkan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada 11 Oktober ini sempena ulang tahun ke-10 penganjurannya, dengan sasaran lebih 7,000 peserta tempatan dan antarabangsa.

Sebagaimana edisi sebelum ini, lebuh raya akan ditutup sepenuhnya dan diterangi lampu LED, menawarkan pengalaman kayuhan eksklusif tanpa gangguan kenderaan — satu keistimewaan yang saban tahun dinanti peminat sukan dua roda.

Sejak diperkenalkan pada 2013, acara ini mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) tahun lalu — kayuhan malam dengan penyertaan paling ramai dan laluan paling panjang di lebuh raya.

Menambah menarik, 23 peserta ‘setia’ — 18 dari Malaysia dan lima dari Singapura — yang tidak pernah ketinggalan menyertai sejak edisi pertama, bakal menerima pas percuma sebagai tanda penghargaan atas sokongan sedekad.

Acara kayuhan bermula di Plaza Tol Kajang Selatan dengan lima kategori pilihan mengikut kemampuan: kayuhan kompetitif 105km, kayuhan 78km, kayuhan terbuka 17km, kategori remaja 12km serta 17km bagi pemula.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad berkata, lebih 3,000 peserta sudah mendaftar dan yakin sasaran 7,000 kayuhan bakal dicapai kali ini.

“Acara ini bukan sekadar sukan, tapi platform menyatukan rakyat dalam suasana sihat dan inklusif,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai, yang turut memaklumkan aspek keselamatan dibantu oleh KKR, LLM, PDRM dan beberapa penaja seperti IJN, Tokio Marine, IJM Land dan Dahua Technology.