MANTAN Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyarankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera menyusun semula pengurusan dalaman selepas menerima kejutan peletakan jawatan presidennya, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayob baru-baru ini.
Menurut Shapawi, peristiwa ini mencatat sejarah baharu dalam FAM kerana belum pernah berlaku seorang presiden melepaskan jawatan hanya selepas enam bulan diberi mandat, apatah lagi dipilih tanpa bertanding pada Kongres FAM Februari lalu untuk penggal 2025-2029.
“Saya sendiri tidak tahu mengapa Datuk Joehari tiba-tiba mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Presiden FAM. Namun, apa yang boleh saya katakan, pengurusan FAM kini kurang lancar. Jadi inilah masanya FAM mengemaskini kembali urus tadbir mereka,” katanya ketika dihubungi Flash Sukan.
Tambah beliau, FAM perlu kembali menguatkan asas mereka iaitu ahli gabungan negeri. Sekiranya gabungan negeri dapat memperkukuh pengurusan masing-masing, secara langsung kekuatan itu akan mengalir kembali kepada FAM di peringkat nasional.
Shapawi yang kini merupakan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) turut menegaskan, individu yang bakal dipilih sebagai Presiden FAM seterusnya harus mempunyai latar belakang politik dan mampu menjalin hubungan baik dengan semua pihak berkepentingan dalam bola sepak tanah air.