TIDAK menunggu lama sebaik tiba di Bali, Indonesia, semalam, pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC terus menjalani latihan pada Selasa bagi menghadapi kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022.
Sesi regangan pagi di pekarangan hotel dan pantai Bali Dynasty Resort dilakukan dalam suasana penuh harmoni di bawah seliaan Aidil Sharin Sahak.
Beberapa keping foto dikongsikan oleh Twitter KEDAH DARUL AMAN FC @kda_fc termasuk hantaran kata-kata positif membakar semangat para pemain yang bertanding kali ini.
“Semua untuk Satu, Satu untuk Semua. Ayuh berjuang pasukan KDA FC di Piala AFC 2022 !
“Doakan langkah Sang Kenari kali ini memberi isyarat positif dengan menyumbang mata kepada kelab dari Malaysia yang bertanding di peringkat Asia. Let’s go guys! ,” menurut ciapan itu.
Kedah akan bertemu Juara Liga Indonesia dua tahun berturut-turut, Bali United pada aksi pembukaan Piala AFC 2022 bagi kumpulan G di Stadium Kapten I Wayan Dipta, pada Jumaat.