PERSEORANGAN wanita negara, K Letshanaa mengakui, perasaan tidak sabar mahu menamatkan set pertama, membantut usahanya mencipta kejutan pada penyertaan pertama Kejohanan Dunia di Paris.

Biarpun tersingkir di pusingan kedua, pemain berusia 22 tahun itu mengakui, banyak pengajaran dan diperoleh selepas ditewaskan idolanya, Pusarla V Sindhu, 19-21, 15-21.

Mengakui berdebar berdepan bekas juara dunia itu, Letshanaa tetap menganggap ia satu pendedahan berharga yang boleh dijadikan bekalan untuk masa depan

“Ia satu pendedahan yang sangat baik untuk saya dan saya rasa sangat gembira dapat menentang idola sendiri, jadi ia perlawanan yang cukup bermakna,” kata Letshanaa kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pemain kelahiran Selangor itu sebenarnya berpeluang mencuri set pertama apabila mendahului di awal permainan 4-2, 8-4, 17-12, sebelum hilang konsentrasi di penghujung set, apabila diikat 19-19 dan tunduk kepada pengalaman lawan.

“Saya rasa saya terlalu gopoh untuk menamatkan perlawanan, jadi sebab itu saya tewas di set pertama,” jelasnya.

Biarpun kecewa gagal memanfaatkan peluang, Letshanaa mengakui dia mempunyai peluang besar untuk memenangi set tersebut jika lebih tenang mengawal rentak.

“Ya, saya rasa saya ada peluang besar untuk dapatkan set pertama tetapi saya sepatutnya lebih tenang,” tambahnya.