SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman digantung serta-merta berkuat kuasa Jumaat susulan siasatan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan pemalsuan dokumen tujuh pemain naturalisasi Harimau Malaya.
Perkara itu disahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundram dalam satu sidang media khas di Wisma FAM, Petaling Jaya, petang Jumaat.
“Setiausaha Agung FAM digantung berkuat kuasa hari ini,” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut mengenai tempoh penggantungan tersebut.
Tindakan itu diambil selepas FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang merujuk kepada kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen rasmi untuk tujuan pendaftaran pemain.
FIFA dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan, FAM didapati menyerahkan dokumen kelayakan yang dipalsukan bagi mengesahkan status tujuh pemain warisan untuk diturunkan dalam aksi rasmi skuad kebangsaan.
Antara pemain yang terbabit dalam kes tersebut ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano — yang kesemuanya kini digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama setahun.
Sebagai rekod, Noor Azman dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada 1 September 2022 menggantikan Mohd Saifuddin Abu Bakar, sebelum disambung untuk penggal 2025–2029 pada Februari lalu.