Jadual padat FIFA ASEAN Cup 2026 menuntut pemain Harimau Malaya menguruskan kecergasan dengan sebaik mungkin, namun situasi itu tidak menghalang skuad negara daripada mengekalkan persediaan bagi menghadapi setiap perlawanan.

Pemain tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin, berkata tempoh pemulihan yang singkat sudah menjadi sebahagian daripada cabaran kejohanan dan setiap pemain memahami kepentingan memastikan kondisi diri sentiasa berada pada tahap terbaik.

Katanya, meskipun hanya mempunyai beberapa hari untuk kembali pulih selepas sesuatu perlawanan, keseluruhan pemain berada dalam keadaan baik dan masing-masing memberikan perhatian terhadap aspek pemulihan.

“Dalam kejohanan ini perlawanan datang dengan pantas. Hanya ada beberapa hari untuk pulih, tetapi semua orang kelihatan berada dalam keadaan baik dan tidak sabar untuk perlawanan seterusnya.

“Tempoh pemulihan memang singkat, jadi semua pemain yang beraksi memberi fokus sepenuhnya kepada pemulihan,” kata Wilkin.

Menurut pemain berusia 25 tahun itu, pemain yang kurang mendapat minit permainan turut menggunakan masa yang ada untuk memastikan tahap ketajaman mereka kekal terpelihara.

Situasi itu penting kerana setiap anggota skuad boleh dipanggil untuk beraksi pada bila-bila masa, terutama ketika pasukan perlu mengharungi beberapa perlawanan dalam tempoh yang singkat.

“Pemain yang belum banyak beraksi pula memastikan diri mereka kekal tajam dan kami akan memerlukan setiap pemain dalam skuad,” katanya.

Wilkin turut mengakui perjalanan pasukan dari satu lokasi ke lokasi lain memerlukan pengurusan tenaga yang baik, namun perkara itu tidak menjejaskan komitmen pemain untuk terus memberikan yang terbaik sepanjang kejohanan.

Bagi Wilkin, pengurusan pemulihan perlu menjadi tanggungjawab seluruh skuad dan bukan hanya pemain yang baru selesai beraksi bagi memastikan Harimau Malaya kekal cergas, tajam dan bersedia sepanjang kempen FIFA ASEAN Cup 2026.