SKUAD bola sepak bawah (B-23) Malaysia diundi dalam Kumpulan B Piala AFF B-23 2023 bersama Indonesia dan Timor Leste.
Majlis undian yang disiarkan menerusi Twitter itu diadakan di Bangkok, Thailand, pada Isnin.
Pertarungan antara Indonesia dan Malaysia sering hangat dalam pelbagai acara. Justeru, saingan Kumpulan B juga diramalkan sengit sehingga ke perlawanan terakhir.
Piala AFF B-23 2023 akan berlangsung pada 17 hingga 26 Ogos di Chonburi, Thailand. Pada asalnya perlawanan itu dijadualkan berlangsung dari 31 Oktober hingga 12 November.
Sementara itu, tuan rumah Thailand berada dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Brunei Darussalam dan Myanmar. Kumpulan A adalah satu-satunya kumpulan dengan empat pasukan.
Manakala Kumpulan C pula diisi dengan Vietnam, Filipina dan Laos. Vietnam merupakan juara bertahan dalam pertandingan ini.
Dengan mempunyai tiga kumpulan, empat pasukan yang layak ke separuh akhir akan ditentukan oleh tiga pemenang kumpulan dan satu naib juara terbaik.
Ini peluang terbaik anak buah E Elavarasan menebus kembali kegagalan di Sukan SEA Kemboja apabila kandas di peringkat kumpulan.