KETUA jurulatih skuad Malaysia, Pau Marti Vicente mengakui perlawanan ketiga Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 menentang Thailand pada Sabtu ini merupakan satu cabaran besar buat Harimau Malaya.

Beliau menjelaskan beberapa isu yang dihadapi pasukan termasuk kecederaan pemain, jadual perlawanan yang padat, dan tekanan mental serta fizikal yang dihadapi pemain.

“Jika saya tahu semua jawapan, perkara ini tidak akan berlaku. Kadangkala sukar untuk menjelaskan mengapa ia terjadi. Kami telah berbincang tentang pendekatan dan intensiti yang perlu kami gunakan. Namun, kadangkala keadaan tidak berpihak kepada kami, dan apabila pemain tidak fokus sepenuhnya, kecederaan boleh berlaku,” kata Pau Marti dalam sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau turut mengesahkan beberapa pemain mengalami kecederaan selepas perlawanan terakhir dan masih belum pasti sama ada mereka akan bersama pasukan ke Thailand.

“Kami ada tiga pemain yang nampaknya sukar untuk pulih menjelang perlawanan seterusnya. Isu ini turut menjadi cabaran apabila pemain perlu membahagikan tumpuan antara pasukan kebangsaan dan kelab masing-masing,” tambahnya.

Meskipun mengakui prestasi pasukan kurang memuaskan dalam perlawanan sebelumnya, Pau Marti percaya bahawa situasi perlawanan di Thailand akan berbeza.

“Sekarang bukan masa untuk membandingkan prestasi. Setiap perlawanan adalah berbeza. Apa yang penting kini adalah pemulihan pemain secara mental dan fizikal. Kebanyakan pemain sudah bermain empat perlawanan dalam tempoh 12 hari. Kami perlu menyediakan mereka dengan sebaik mungkin,” katanya.

Pau Marti juga menyeru agar semua pihak memberikan sokongan penuh kepada skuad kebangsaan, terutamanya dalam kejohanan penting seperti ini.

“Saya rasa pasukan kebangsaan harus berada dalam keadaan terbaik, dengan sokongan penuh dari semua pihak. Semua pemain dalam skuad ini penting, dan sebagai satu pasukan, kami perlu terus melangkah ke hadapan,” katanya dengan optimis.

Skuad Harimau Malaya kini berada di puncak kumpulan dengan empat mata selepas dua perlawanan, dan perlawanan menentang Thailand akan menjadi penentu penting untuk kemaraan mereka dalam kejohanan ini.