PASUKAN Harimau Malaya bakal berdepan satu lagi cabaran getir apabila turun menentang Palestin dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Lawan yang digelar Lions of Canaan itu bukan asing lagi buat skuad negara, malah rekod pertemuan lalu jelas menunjukkan Palestin berada di atas dengan lima kemenangan ke atas Malaysia dalam aksi persahabatan mahupun kelayakan Piala Dunia.
Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan berlangsung pada tahun 2015 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, dengan Palestin melakar kemenangan bergaya 6-0 di Al-Ram. Malah sebelum itu, Malaysia turut dibelasah dengan keputusan sama di gelanggang sendiri, satu ingatan pahit yang masih segar buat penyokong tempatan.
Sejak kali pertama bertemu dalam kelayakan Piala Dunia 2002, Malaysia hanya sekali berjaya menumbangkan Palestin iaitu pada 25 Mac 2001 dengan kemenangan tipis 4-3.
Selebihnya, Palestin jelas mendominasi, termasuk kemenangan 2-0 di Kuala Lumpur pada 2013. Rentetan ini meletakkan Palestin sebagai lawan yang sering menjadi mimpi ngeri buat Harimau Malaya.
Namun kali ini, anak buah Peter Clamovski tampil dengan semangat baharu selepas memperagakan corak permainan lebih tersusun sepanjang siri perlawanan antarabangsa tahun ini. Aksi menentang Palestin bukan sekadar ujian persahabatan, tetapi peluang terbaik untuk mengukur tahap sebenar pasukan menjelang kempen kompetitif akan datang.
Palestin hadir dengan reputasi sebagai pasukan yang memiliki fizikal kuat dan disiplin bertahan kental, tetapi Harimau Malaya diyakini mampu memberi saingan sengit sekiranya berjaya mengekalkan intensiti permainan sejak wisel permulaan.
Dengan sokongan padu penyokong di SSI, Malaysia bertekad untuk menamatkan badi kekalahan dan membuktikan mereka sudah berada di landasan tepat.