KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak wajar dijadikan sasaran kritikan susulan kejayaan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, kata Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin.

Bekas pelumba Moto2 negara itu menegaskan KBS adalah antara pihak yang menyokong program pembangunan bakat SIC sejak hari pertama ia diperkenalkan, sekali gus memainkan peranan penting dalam pembangunan pelumba muda negara.

“Saya percaya selepas kemenangan Hakim Danish banyak perkara yang kurang baik berlaku terhadap KBS dan sudah semestinya saya berasa tidak senang, terutama dengan beberapa fakta yang keluar.

“Saya sendiri pun tidak tahu hendak meraikan kemenangan itu macam mana kerana dalam masa yang sama KBS berada dalam posisi yang tidak baik,” katanya.

Menurut Zulfahmi, persepsi negatif yang timbul selepas kemenangan Hakim Danish di Grand Prix (GP) Republik Czech tidak menggambarkan hakikat sebenar hubungan antara KBS dan program pembangunan bakat yang dijalankan SIC.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pengumuman pembaharuan kontrak MotoGP Malaysia sehingga 2031, sambil menjelaskan KBS sentiasa memberikan sokongan terhadap pembangunan sukan permotoran negara.

“Tetapi walau macam mana pun saya nak terangkan dekat sini, memang KBS bersama dengan program ini daripada hari pertama bersama dengan SIC.

“Saya harap dengan penganjuran MotoGP Malaysia yang disambung lima tahun lagi ini, program pembangunan bakat akan diteruskan dan melahirkan lebih ramai Hakim Danish pada masa depan, insya-Allah,” katanya.