MALAYSIA terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab sukan global apabila diumumkan sebagai tuan rumah pembukaan Kejuaraan Dunia FIM Supercross 2025, dengan aksi sulung dijadual berlangsung di Stadium Merdeka pada 18 Oktober ini. Ini merupakan kali pertama perlumbaan berprestij itu diadakan di tanah air dan satu-satunya pusingan yang akan berlangsung di benua Asia musim ini.

Pengumuman rasmi dilakukan menerusi Siaran media yang dikeluarkan FIM World Supercross, yang turut mendedahkan lima lokasi merentas lima benua sebagai destinasi perlumbaan – Kuala Lumpur, Buenos Aires (Argentina), Vancouver (Kanada), Gold Coast (Australia) dan Cape Town (Afrika Selatan). Kejohanan kali ini menandakan pengembangan paling besar dalam sejarah Supercross, sekali gus menjadikan musim 2025 sebagai edisi paling global setakat ini.

Menurut Shamil Yusof, Ketua Pengarah Eksekutif Data Sukan Sdn Bhd selaku penganjur tempatan, penganjuran ini adalah bukti peningkatan reputasi Malaysia dalam landskap sukan antarabangsa. “Kami amat teruja untuk mengalu-alukan World Supercross ke Kuala Lumpur. Ia adalah peluang untuk membawa peminat sukan permotoran tempatan merasai keghairahan Supercross bertaraf dunia dan pada masa sama menaikkan nama Malaysia di pentas global,” katanya.

Shamil turut menyifatkan penganjuran ini sebagai sebahagian daripada ‘double-header’ sukan permotoran terbesar di rantau ini, dengan Grand Prix Motosikal Malaysia 2025 yang akan berlangsung seminggu selepas perlumbaan Supercross, menjadikan bulan Oktober sebagai kemuncak buat peminat dua roda di Asia Tenggara.

World Super Cross WSX
HBF Park 23rd & 24th November 2024
Photographer: Travis Hayto

Ketua Pegawai Eksekutif WSX, Tom Burwell, berkata pemilihan Kuala Lumpur sebagai penganjur perlumbaan pembukaan menandakan babak baharu dalam usaha menjadikan Supercross sebagai sukan global sejati. “Membawa sukan ini ke benua baharu seperti Asia, Amerika Selatan dan Afrika merupakan langkah penting untuk kami. Kami mahu membawa aksi elit ini kepada peminat yang selama ini hanya menonton dari jauh,” katanya.

Perlumbaan sulung ini dijangka menarik minat besar daripada penyokong sukan permotoran tempatan, terutamanya dengan status Stadium Merdeka sebagai lokasi ikonik yang bakal diubah suai bagi menampung laluan tanah khas Supercross. Para peminat juga akan menantikan sama ada juara bertahan Eli Tomac (450cc), Shane McElrath (250cc), serta pasukan Fire Power Honda mampu mempertahankan gelaran mereka dalam saingan yang dijangka lebih mencabar musim ini.

World Super Cross WSX
HBF Park 23rd & 24th November 2024
Photographer: Travis Hayto

Kehadiran Kejuaraan Dunia FIM Supercross di Malaysia bukan sahaja menjanjikan aksi mendebarkan di litar, tetapi juga lonjakan dalam sektor pelancongan sukan tempatan selaras dengan wawasan kerajaan Madani untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama acara antarabangsa.