PERJALANAN panjang Nazmi Faiz Mansor bersama Johor Darul Ta’zim akhirnya sampai ke penghujung apabila pemain tengah berpengalaman itu menitipkan ucapan perpisahan penuh emosi selepas hampir sedekad menyarung jersi Harimau Selatan.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, pemain berusia 31 tahun itu menyifatkan tempoh sembilan tahun enam bulan bersama JDT sebagai satu perjalanan luar biasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Menurut Nazmi, Johor bukan sekadar destinasi karier buatnya, malah telah menjadi rumah kedua yang menyimpan pelbagai kenangan sepanjang bergelar pemain JDT.
“Johor telah menjadi lebih daripada sekadar tempat untuk bermain bola sepak. Ia telah menjadi rumah kedua saya,” katanya.
Dalam masa sama, Nazmi turut merakamkan penghargaan kepada pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kepercayaan dan peluang yang diberikan sepanjang bersama pasukan.
Beliau menegaskan sentiasa memberikan komitmen penuh setiap kali diberi tanggungjawab di atas padang, termasuk ketika berdepan cabaran dan detik sukar sepanjang kariernya bersama JDT.
Nazmi juga tidak melupakan jasa rakan sepasukan, barisan kejurulatihan, kakitangan kelab, pihak media serta semua individu di belakang tabir yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya bersama Harimau Selatan.
Ucapan penghargaan turut diberikan kepada penyokong setia JDT yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan sepanjang tempohnya di kelab itu.
Nazmi menyertai JDT pada awal musim 2017 dan muncul sebagai antara watak penting dalam era dominasi Harimau Selatan di pentas domestik serta saingan Asia.
Ucapan perpisahan itu sekali gus mengesahkan berakhirnya satu era buat bekas pemain PKNS FC itu, yang kini dijangka memulakan perjalanan baharu dalam karier bersama Kuching City FC bagi menghadapi musim 2026/27.