PENGANJURAN MotoGP Malaysia akan terus kekal di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang sehingga 2031 selepas kerajaan meluluskan pembaharuan kontrak bagi tempoh lima tahun bermula 2027.

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu bukan sahaja memastikan kesinambungan perlumbaan bertaraf dunia berkenaan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri sukan permotoran negara.

“Pada 2024, penganjuran MotoGP Malaysia menjana impak ekonomi keseluruhan sebanyak kira-kira RM694 juta, mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan serta menghasilkan pulangan pelaburan sekitar 6.3 kali ganda kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, selain memberi pulangan ekonomi yang tinggi, MotoGP Malaysia turut menjadi platform pembangunan bakat menerusi program Malaysian Motorsport Development (MDEV) yang berjaya melahirkan pelumba muda seperti Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan.

Menurutnya, Pelan Induk Pembangunan SIC 2035 pula dijangka menarik pelaburan sehingga RM1 bilion dan mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan berimpak tinggi, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab sukan permotoran serantau.

Dr Mohammed Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan akan terus memperkasa ekosistem sukan permotoran supaya MotoGP Malaysia bukan sekadar kekal dalam kalendar perlumbaan dunia, malah terus menjadi pemacu pembangunan ekonomi serta melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf antarabangsa.