Kredit Gambar: Angela Weiss/AFP

Legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos tampil menjelaskan kontroversi mengenai pegangan agamanya selepas tersebar dakwaan bahawa bekas bintang Real Madrid itu telah memeluk Islam.

Carlos menerusi wawancara bersama akhbar Arab Saudi, Okaz, menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan beliau tidak pernah membuat keputusan untuk menukar agamanya.

“Saya sangat menghormati Islam dan amat indah melihat isteri saya menunaikan solat, tetapi khabar angin yang tersebar mengenai saya memeluk Islam adalah tidak benar,” katanya.

Penjelasan itu hadir selepas beberapa laporan di media sosial mendakwa Carlos memeluk Islam kira-kira empat minggu lalu, malah ada yang mendakwa beliau mengucapkan dua kalimah syahadah selepas bertemu tokoh komuniti Islam di Brazil, Sheikh Jihad Hamada.

Spekulasi berkenaan turut diperkukuhkan dengan penyebaran beberapa gambar yang didakwa merakamkan majlis perkahwinan Carlos bersama ahli perniagaan Maghribi, Souheila Tahiri, dalam suasana berunsurkan Islam.

Bagaimanapun, Carlos menjelaskan majlis perkahwinan mereka diadakan dalam beberapa bentuk sebagai tanda menghormati latar belakang keluarga serta rakan-rakan pasangan itu.

Menurutnya, sambutan tersebut turut mengambil kira ahli keluarganya yang beragama Katolik selain menghormati budaya Maghribi dan rakan-rakan isterinya yang beragama Islam.

Keadaan itu dipercayai menjadi punca timbulnya salah faham sehingga mencetuskan laporan mengenai perubahan agama Carlos.

Dalam perkembangan sama, Carlos turut berkongsi kisah bagaimana hubungannya dengan Tahiri bermula selepas mereka bertemu dalam satu urusan perniagaan berkaitan bola sepak.

Hubungan tersebut kemudian berkembang daripada hubungan profesional kepada hubungan peribadi dan akhirnya membawa kepada perkahwinan.

Carlos menyifatkan Tahiri sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya dan mendedahkan mereka telah mengenali antara satu sama lain selama kira-kira dua tahun.

Perkahwinan pasangan itu turut mendapat perhatian di Brazil dan Maghribi, terutama dengan perbezaan latar belakang budaya serta agama masing-masing.

Carlos, 53, merupakan antara pemain paling berprofil tinggi dalam sejarah bola sepak Brazil dan Real Madrid, selain dikenali sebagai salah seorang bek kiri terbaik dunia sepanjang era kegemilangannya.

Dengan penjelasan terbaharu itu, Carlos sekali gus menamatkan spekulasi mengenai dakwaan pengislamannya, sambil menegaskan bahawa beliau menghormati kepercayaan serta tradisi agama yang diamalkan oleh isterinya.