Kuala Lumpur City FC  membawa kelebihan tipis 1-0 menjelang aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA selepas menundukkan Perak FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.

Gol tunggal perlawanan hadir menerusi kapten KL City, Paulo Josue, yang menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung permainan untuk memberikan pasukannya bekalan penting sebelum pertemuan kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 9 September ini.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak sepenuhnya menggembirakan pengendali KL City, Datuk Dollah Salleh, yang melihat masih terdapat kelemahan ketara khususnya di bahagian serangan untuk dimanfaatkan pasukannya.

Situasi itu lebih mengecewakan apabila KL City mempunyai kelebihan dua pemain selepas Perak FA kehilangan Muhammad Firdaus Ahmad Fuad yang dilayangkan kad merah pada minit ke-60. Namun, kelebihan numerik berkenaan gagal diterjemahkan kepada lebih banyak peluang berbahaya.

Dollah mengakui persembahan anak buahnya tidak mencapai tahap yang diharapkan, malah menyifatkan bahagian serangan masih belum cukup berkesan untuk mengubah kelebihan pemain kepada jaringan tambahan.

“Saya pun kecewa dengan persembahan pemain hari ini. Bila kita bermain dengan kelebihan dua pemain, barulah nampak rentak permainan, tetapi di bahagian serangan masih kurang menyengat,” katanya selepas perlawanan.

Beliau bagaimanapun percaya masih ada ruang untuk KL City memperbaiki kelemahan tersebut sebelum aksi kedua, termasuk kemungkinan melakukan perubahan dari aspek taktikal bagi memastikan pasukannya tampil lebih efektif di hadapan gawang.

Sementara itu, pengendali Perak FA, Noor Zaidi Rohmat, mengakui layangan kad merah sedikit sebanyak menjejaskan perancangan pasukannya untuk meneruskan saingan dengan kekuatan penuh.

Namun, beliau tetap memuji semangat serta disiplin pemain Perak FA yang terus memberikan tentangan walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan serba kekurangan sehingga wisel penamat, sekali gus memastikan keputusan 1-0 masih membuka peluang buat mereka pada aksi kedua.