PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas terhadap isu prestasi pengadilan dalam perlawanan Liga Super membabitkan Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 9 Januari 2026 dengan merujuk pengadil perlawanan, S Logeswaran serta pengadil VAR, Muhd Usaid Jamal ke fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu.
Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Penilaian Prestasi FAM meneliti Laporan Penilai Pengadil dan menjalankan penilaian menyeluruh terhadap tugasan pegawai perlawanan, termasuk analisis beberapa insiden utama sepanjang aksi berkenaan.
Menurut kenyataan rasmi FAM, penilaian mendapati terdapat beberapa keputusan yang kurang tepat, khususnya melibatkan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 berkaitan kesalahan dan kelakuan tidak bersopan, yang memerlukan tindakan pembetulan segera.
“Sehubungan itu, FAM telah memutuskan untuk merujuk kedua-dua pengadil terbabit kepada fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu bagi memperbaiki prestasi mereka,” kata FAM dalam kenyataan tersebut.
Sebagai langkah susulan, Unit Pengadil FAM bersama Jawatankuasa Penilaian Prestasi turut memanggil semua pegawai perlawanan dan Penilai Pengadil yang terlibat untuk menghadiri sesi ‘Postmatch Debriefing’ di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 15 Januari 2026.
FAM menegaskan badan induk itu tidak akan berkompromi dalam soal kualiti pengadilan dan akan terus mengambil tindakan bimbingan serta pemulihan terhadap mana-mana pegawai perlawanan yang menunjukkan prestasi tidak memuaskan demi memastikan integriti serta standard Liga Malaysia terus terpelihara.