KETUA jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil tanpa segan silu memuji karakter dan sikap yang ditunjukkan oleh para pemainnya ketika membelasah Negeri Sembilan FC 4-0 dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.

Selangor pada mulanya agak bergelut pada babak pertama namun berjaya meledak empat gol sekali gus menggembirakan lebih 10,000 penyokong yang membanjiri stadium dan naik ke tangga keempat liga.

Nidzam yang ditemui ketika sidang media selepas perlawanan juga mengakui usaha yang dilakukan mereka mempersiapkan pasukan selama seminggu berjaya menghasilkan kemenangan dan dia bangga dengan situasi ini.

Nidzam gembira dengan karakter pemain.

“Ianya dua ‘half‘ yang berbeza dan saya gembira dengan persembahan babak kedua dan secara keseluruhan saya sangat gembira sebab ini mengenai sikap dan karakter apabila pemain berikan segalanya terutama pada babak kedua.

“Saya juga tidak menafikan faktor tuah memihak kepada kami tetapi saya selalu berpendapat apabila menyediakan pasukan untuk perlawanan, nasib baik adalah apabila persediaaan dan usaha serta sikap bergabung untuk berikan kemenangan kita,” katanya.

Pengendali asal Kajang itu turut gembira dengan momentum kemenangan yang ditunjukkan para pemainnya dan berharap aksi persahabatan antarabangsa di Jakarta, Indonesia dapat meneruskan momentum ini sebelum perlawanan Piala FA menentang lawan yang sama pada pertengahan Jun.

Aksi Nidzam ketika memberikan arahan taktikal kepada pemainnya.

“Saya akan gunakan aksi di Jakarta untuk menguji semua pemain dan berikan minit permainan kepada mereka dan saya harap kejohanan ini dapat membantu kami meneruskan rentak cemerlang ini sebelum aksi Piala FA,” jelasnya.

Jaringan daripada Yohandry Orozco dan Noor Al Rawabdeh serta masing-masing satu dari Ronnie Fernandez dan Reziq Banihani yang membuka akaun jaringan bersama Gergasi Merah memberikan kemenangan kedua berturut-turut dan Nidzam semakin yakin dengan kemampuan pasukannya.