KETUA jurulatih Kelantan Darul Naim FC, Park Jae-hong merencana taktikal khusus apabila bertandang ke Kedah Darul Aman FC bagi menghadapi perlawanan kelima Liga Super 2024/25.
Park menyatakan persediaan mereka sangat lancar dimana barisan pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk meraih sesuatu yang positif di Stadium Darul Aman.
“Kami akui Kedah pasukan yang kuat dimana mereka baru sahaja meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala FA.

Pemain KDNFC menjalani latihan terakhir semalam sebelum bergerak ke Alor Setar
“Tetapi kami juga tidak tinggal diam apabila sepanjang dua minggu liga bercuti, kami melakukan banyak latihan khusus dan merencana beberapa taktikal untuk bertandang ke arena pihak lawan.
“Keadaan pemain juga sangat baik, mereka bersemangat, bekerja keras serta sangat bermotivasi untuk meraih sesuatu yang positif pada perlawanan ini,” katanya.
Tambah Park, skuadnya mungkin ketiadaan beberapa pemain kerana cedera serta demam namun perancangan mereka lancar setelah Kelantan Darul Naim FC memiliki pengganti setara.

“Saya yakin pemain saya dapat melaksanakan tugasan mereka biarpun ada pemain tidak dibawa kerana cedera. Penganti mereka setara serta mampu mengisi kekosongan itu.
“Dalam masa sama kami kena berhati-hati dengan beberapa pemain mereka seperti Syafiq Ahmad, Sony Norde serta satu dua pemain lagi atau kami akan berdepan masalah besar.
“Penting bagi kami untuk mengekang mereka dan menggunakan setiap peluang yang diperoleh kepada jaringan gol,” tambah beliau.
Kelantan Darul Naim FC akan bertandang ke Alor Setar untuk bertemu Kedah Darul Aman FC pada Jumaat.